MENGHANTAR ANAK KE SEKOLAH
Kuhantar anak ke laman sekolah
dengan bekal jutaan citra
pergi menggalas buku
pulang menggendong ilmu
pergi bersama hati
balik membawa budi.
Biar putih baju beralih kelabu
ingatlah, betapa guru perlu dihormati
takkan sesat arah melangkah.
Rakan jangan sekali disakiti
kalau mandiri mahu dimanusiawi.
Sekolah, gedung intelek harus diteroka
bosan mencari menjemput sesal.
Biar luntur biru warna di seluar
jangan jemu menggigih diri
rumah jaya akan terbina di lereng cita
di anjungnya dapat kaurenung
nilai duri yang menggores kala mendaki
menghirup erti pengorbanan lalu.
Ketika anak kuhantar ke sekolah
harap kau kenal tulen dan palsu
memilih telekung atau gincu
perhalus akal menajam renung
makna rakan maksud sahabat erti taulan.
Mengikat yakin pada hati
syurga tetap di telapak kaki ibu
aku, hanya ayah pemikul amanah
keringat di dahiku tak perlu kauseka.
MOHD. HASHIM OSMAN,
SMK (F) Besout, Sungkai.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment