Saturday, February 27, 2010

Maulidur Rasul...

SALAM MAULIDUR RASUL...selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W serta kaum keluarga dan sahabat handai baginda. Nabi Muhammad S.A.W berkata,"tidak beriman seseorang kamu kecuali aku lebih dicintai daripada kedua ibubapanya, anak dan manusia keseluruhannya." 

DEMI sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari Akhirat, serta ia pula menyebut dan memperingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang). (al-Ahzab: 21)

Namun bagi umat Islam, keutamaan kita lebih dari sekadar untuk berarak dan berkumpul bagi merayakannya. Adalah amat penting untuk umat Islam terutamanya remaja menghayati keunggulan keperibadian Rasulullah dan menghayati sejarah perjuangan Baginda. Bagi remaja Islam, kekuatan keperibadian Baginda dapat dijadikan teladan yang baik (Qudwah Hasanah) untuk dicontohi.

Remaja sentiasa mencari-cari seseorang untuk dijadikan contoh. Dalam hal ini, nyata remaja hari ini lebih mengagumi tokoh-tokoh popular, yang menonjol barangkali kerana rupa paras, ilmu atau kelebihan yang dimiliki dan remaja lebih suka menjadikan mereka idola atau pujaan hati mereka.

Watak Rasulullah dibentuk oleh Allah melalui al-Quran. Sifat-sifat Nabi terserlah daripada peribadinya yang mulia, kebijaksanaan Baginda dalam memimpin negara, berlemah-lembut dan berhikmah dalam berdakwah serta berwasatiah (bersederhana) dalam soal kehidupan harian. Malah Rasulullah sentiasa mempamerkan budi pekerti yang baik dan terpuji kepada umatnya. 

Allah telah memberi tarbiyah kepada Baginda menjadi seorang yang jujur, amanah dengan menghadiahkan Nabi pengalaman hidup yang mendidik Baginda seorang yang terpuji. Terpuji kerana sifatnya yang tidak pernah menyembah berhala, sentiasa melihat dan merenung terhadap persekitaran dan kekayaan alam sekelilingnya. Atas sifat terbilangnya dan kepimpinan diri, Rasulullah diberi penghormatan menyelesaikan pertikaian dan perbalahan kerana perebutan kuasa dalam kalangan ketua kabilah untuk menempatkan Hajarul Aswad. 


Baginda juga terkenal sebagai penggembala kambing dan peniaga yang memiliki sifat amanah, cekap, jujur, sabar dan ikhlas sehingga membawa keuntungan yang berganda untuk rombongan perniagaan Khadijah.Banyak teladan dan contoh ikutan ditunjukkan junjungan besar Nabi Muhammad buat pedoman remaja dan belia. Sesungguhnya kehidupan seorang pemuda dan pemudi Islam tidak dapat lari daripada menjadikan Rasulullah sebagai model ikutan sepanjang zaman.

Oleh itu, Rasulullah adalah contoh ikutan terbaik bagi seluruh umat manusia. Hari ini ramai tokoh yang lahir tampil mengagumkan kita, namun personaliti Rasulullah dan kebijaksanaan Baginda telah membawa perubahan kepada dunia seluruhnya sejak lebih 1,400 tahun lalu. Baginda telah menampilkan transformasi yang besar kepada aspek sosial masyarakat, aspek pemerintahan dan aspek keteladanan yang boleh dicontohi pengikut. Sesungguhnya, kelahiran Nabi Muhammad s.a.w membawa rahmat seluruh alam.

No comments:

Post a Comment